Artikel ini, mengingatkan aku kepada kontroversi pindaan di dalam Kanun Jenayah mengenai jenayah rogol. Pindaan itu menyatakan persetujuan mengadakan hubungan seks yang diperolehi kerana kedudukan autoriti seseorang dianggap sebagai rogol. Dalam ertikata lain, ini turut menyebabkan persetujuan yang diberikan untuk mengadakan hubungan seksual di tempat kerja bersama majikan atau teman sekerja tidak sah sekiranya ia diperolehi akibat kedudukan autoriti lelaki yang meminta hubungan itu dijalankan. Sekali imbas, pindaan ini tidak begitu sulit. Bukankah drama swasta di televisyen amat gemar menjadikan skandal seks di tempat kerja sebagai daya penarik kepada plot cerita yang hambar. Seorang setiausaha seksi dan cantik menghadapi dilema kerana majikannya yang tua dan hodoh meminta agar mereka tidur bersama. “Kalau tidak, aku akan berhentikan engkau dari syarikat ini, mengerti?” Biasanya, setiausaha tersebut akan menyerah diri dan pasrah dengan nasib badannya yang malang. Jadi, apa pula ynag ingin aku "highlight-kan" di dalam catitan aku hari ini?
Masalah pertama bagi aku adalah penggunaan frasa “menggunakan kedudukan autoriti”.Sungguhpun aku maklum dengan hujahan kumpulan pejuang gender yang melihat masalah ini dari perspektif pengstrukturan kuasa dalam masyarakat yang banyak dipengaruhi oleh gender (lelaki menggunakan kuasa yang dianugerah oleh strata masyarakat serta kekuatan ekonomi untuk menguatkuasakan pengaruhnya ke atas perempuan), namun, “kedudukan” sebenarnya adalah satu aspek yang boleh dieksploitasi oleh kedua – dua pihak. Bagaimana pula jika majikan yang digoda agar melakukan perbuatan sumbang dengan seorang pekerjanya yang oportunis? Bukankah di sini, kedudukan majikan itu digunakan untuk kepentingan peribadi si pekerja? Aku lebih selesa jika faktor yang dikatakan menyebabkan persetujuan itu tidak sah turut termasuk faktor paksaan, kecaman atau ugutan kerana ini bermakna sesiapa sahaja di dalam ruang lingkup hubungan profesional di tempat kerja berpotensi melakukan jenayah rogol.
Masalah kedua bagi aku adalah statistik yang dikemukakan di dalam artikel tersebut yang menyatakan hanya 5% daripada kes rogol yang dibawa ke mahkamah berjaya diselesaikan maka tidak ada apa yang hendak dikhuatirkan oleh masyarakat mengenai salah-guna peruntukan ini oleh kaum wanita. Pada aku, justifikasi itu tidak akan membantu kita menangani masalah ini dengan berkesan.Bukankah hakikat 5% kes rogol sahaja mendapat keadilan daripada mahkamah adalah satu fakta yang menakutkan dan bukannya untuk menjustifikasi pindaan tersebut semata-mata? Apa yang perlu kita fikirkan bersama-sama adalah sejauh manakah peruntukan baru ini akan memperkasa mangsa untuk ke hadapan dan membawa perogol ke muka pengadilan? Pada aku, sebarang penggubalan undng-undang yang melibatkan jenayah seperti rogol umpamanya harus mengambil kira mekanisme terbaik bagi melindungi mangsa pasca-jenayah. Sungguhpun peruntukan ini dikatakan membuka jalan untuk wanita membawa kes mereka ke muka pengadilan, namun, sejauhmanakah ia membantu mangsa membawa perogolnya ke mahkamah dan pada masa yang sama memastikan agar kerjayanya tidak musnah. Kedua, bagaimana pula dapat kita pastikan peruntukan ini tidak menjadi lubuk keuntungan atau peluang membalas dendam bagi sesetengah golongan wanita yang tidak pun dirogol? Seorang kawan aku menghujahkan “Takkanlah sanggup seorang wanita memalukan dirinya dengan mengaku dirogol untuk memperolehi keuntungan atau atas tujuan kepentingan peribadi?” Jawapan aku adalah apa pun tidak mustahil. Dalam konteks ini, wanita itu tidak menderita dari malu ditangkap basah atau rakamannya bersenggama diedar ke seluruh negara, lebih strategis, beliau akan dianggap mangsa dalam hal ini dan mendapat simpati umum.
Bukanlah aku tidak sensitif kepada penderitaan mangsa rogol. Contohnya bagi isu rogol di dalam perkahwinan, aku menyokong agar undang-undang mengiktiraf bahawa rogol memang wujud di dalam sesebuah perhubungan suami isteri. Persetujuan yang diberi bagi seseorang lelaki itu untuk mengahwini isterinya (ijab dan kabul) tidak merupakan satu “blanket consent” bagi si suami untuk memperlakukan isterinya dalam apa jua keadaan dan cara, samada dengan atau tanpa persetujuan si isteri.
Pada aku, permasalahan ini tidak akan selesai dengan hanya mengembangkan skop sosial ataupun keadaan-keadaan yang menyebabkan rogol berpotensi untuk berlaku. Pada aku, itu adalah persoalan fakta yang perlu dibuktikan oleh Pendakwaraya dan Peguam Bela dan diproses oleh Mahkamah bagi membuat keputusan. Yang perlu kita perkukuhkan sekarang adalah
- Definisi rogol- agar tidak terhad kepada tusukan penis sahaja tetapi objek-objek lain yang memang sukar untuk ditemui bukti biologi seperti air mani. Kes rogol yang melibatkan liwat dengan batang besi contohnya turut berlaku dan perlu diambil kira dengan serius di bawah Akta.
- Perhalusi takrifan "rogol", apakah pertimbangan-pertimbangan munasabah bagi orang awam, peguam, polis dan mahkamah mengklasifikasikan sesuatu persetujuan itu sebagai sah atau tidak. Pertimbangan seperti ugutan, penggunaan dadah dan sebagainya. Perhatian perlu diberi bagi keganasan seks dalam ikatan suami isteri, keluarga atau industri pornografi, mungkin?
- Meningkatkan kualiti mekanisme keadilan agar lebih mesra-mangsa rogol. Mekanisme yang aku maksudkan adalah sedari membuat laporan polis, perubatan, prosedur soal-siasat sehinggalah ke perbicaraan. Ini termasuklah pendidikan mengenai hak asasi dan kesedaran mengenai mangsa rogol bagi polis, pekerja sosial, peguam, majistret dan pegawai perubatan.
Yang aku rasa paling penting bagi generasi muda adalah agar persoalan seks dan seksualiti ini diangkat sebagai satu persoalan yang boleh dibincangkan secara terbuka dan sihat. Cukuplah sudah anak muda “terpaksa” merisik maklumat tambahan mengenai seks dan seksualiti ini dari sumber-sumber rahsia yang kadang kala gelap dan tidak menterjemahkan isu ini dalam konteks yang sebenar. Kadang kala, pemendaman daya ingin tahu mengenai seks dan seksualiti (sexual repression) boleh memangkin keinginan seks yang tidak sihat contohnya rogol. Kesimpulannya, strategi bagi menangani rogol harus melibatkan kedua-dua pihak, pesalah dan mangsa serta keseluruhan sistem keadilan itu sendiri.
Pautan berkaitan
1. Pendirian Majlis Peguam
2. Pendirian WAO
3. Lagi..dari Majlis Peguam
0 Comments:
Post a Comment
<< Home