Paulo Freire, seorang tokoh yang amat terkenal di dalam bidang pendidikan untuk golongan dewasa dari Brazil, telah menyatakan di dalam bukunya, “Pedagogi Kaum Tertindas” bahawa bagi golongan penindas, pendidikan secara bank, iaitu pendidikan yang bertujuan mengekalkan pemusatan kuasa kepada yang berkuasa serta mengenepikan semangat ingin tahu, perbahasan, dialog dan pemikiran kritis merupakan satu propaganda terbaik untuk menutup kepincangan sistem. Pendidikan tidak lagi menjadi wadah untuk membebaskan manusia dari kongkongan kebodohan mahupun untuk memperkasa rakyat agar bangun mempersoalkan penindasan. Pendidikan disalahguna sebagai senjata untuk membelenggu golongan tertindas dari berfikir serta membudaya rasa takut dan tidak peduli. Apa benarkah gagasan Freire ini?
Menelusuri sejarah dunia yang kerapkali ditulis oleh sang pemenang, penggunaan pendidikan sebagai propaganda boleh ditemui juga sewaktu zaman pemerintahan Nazi. Hitler, seorang yang genius dalam bidang propaganda mengutilisasi sebaik mungkin sistem pendidikan sewaktu itu untuk mengolah persetujuan dan kepercayaan rakyat mengenai ideologi serta dasar pemerintahan beliau. Jika diteliti buku teks yang digunakan di sekolah pada ketika itu, didapati watak-watak protoganis di dalam teks cerita umpamanya sering diwakili oleh ciri-ciri serta keperibadian yang dimiliki oleh bangsa Aryan. Perkara yang sama boleh diperhati pada ilustrasi yang digunakan dalam buku teks sekolah. Golongan yang baik dan patut dicontohi ditampilkan sebagai bermata biru, berambut perang, bertubuh sasa dan berbudi pada tanah atau kaum petani. Manakala golongan yang jahat dan harus dibenci dilukis sebagai berkepala botak, pendek, buncit dan memiliki wang yang banyak. (Sebenarnya watak kapitalis ini tidak terhad kepada bangsa Yahudi sahaja, bukti hujahan saya ini boleh dilihat di Malaysia).
Pengulangan fakta dan ilustrasi yang ditentukan oleh pemerintah dan diiktiraf oleh sistem ini akhirnya menjadi kebenaran yang dianggap sahih. Pendidikan, sebagaimana yang diperjelaskan di atas menjadi institusi pengindoktrinasian paling berkesan untuk mengolah persepsi, kepercayaan dan persetujuan manusia tentang apakah itu kebenaran.
Menakutkan.
Usah merasa takut kepada apa yang sudah berlaku di zaman kekejaman Hitler. Usah ditangkis gagasan Freire hanya kerana teori beliau cenderung ke arah pemikiran Sartre dan bersifat ke-kiri-an. Keresahan anda itu patut dihamburkan kepada penyelewangan fakta sejarah yang dibuat di “rumah sendiri”. Lebih menyedihkan fakta yang terseleweng itu dikompilasi menjadi bahan silibus untuk satu kursus wajib di universiti yang diberi nama Pengajian Hubungan Antara Kaum. Sewaktu aku terbaca laporan Malaysiakini.com mengenai hal ini semalam (rujuk fakta yang dieprtikaikan di sini juga), ledakan bom di Beirut semacam kedengaran lebih perlahan berbanding ledakan kemarahan aku sewaktu itu. Walaupun api kemarahan aku kepada para “warmongers” yang menghalakan kebiadapan mereka kepada Lebanon selepas gagal menggugat Iran sedang membara, cubaan menipu fakta sejarah sebagai taktik propaganda di universiti sukar dimaafkan. Adakah ini paranoid dan prejudis yang bersifat kekirian dan subversif? Kalau begitu, adakah Profesor Khoo Kay Kim, seorang sejarawan terkenal negara boleh dianggap pranoid apabila memperbetulkan kesilapan fakta sejarah di dalam buku teks subjek tersebut?
Setelah subjek sejarah di sekolah menengah diolah menjadi subjek bosan untuk tujuan hafalan sebelum ujian (tapi dipakej sebagai subjek yang menanam rasa patriotik, aku sebenarnya merasa lebih patriotik selepas membaca esei George Orwell yang bertajuk “Notes on Patriotism”) pelajar Tahun Pertama di kampus akan disogok pula dengan maklumat yang terpesong. Generasi aku mungkin akan terkejut membaca bagaimana peristiwa Kampung Medan dan tuntutan Suqiu digambarkan di dalam buku teks tersebut. Rasa terkejut itu kerana peristiwa-peristiwa tersebut bukan peristiwa 40 tahun lalu yang mungkin agak sukar untuk aku hayati dan fahami. Ia adalah antara peristiwa kontemporari negara ini yang kesannya masih dirasai dan diketahui.
Berbanding pertempuran di medan perang dan gerakan terrorisme, propaganda licik dan halus sebegini pada aku lebih menakutkan!
0 Comments:
Post a Comment
<< Home