Monday, July 24, 2006

SERBAN OH SERBAN

Sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama, agak janggal SEKIRANYA Malaysia sunyi daripada pertembungan mahupun konflik yang lahir daripada kepelbagaian ini. Bukanlah aku mendoakan rusuhan kaum setiap hari dek kerana negara kita ini berbilang bangsa dan kaum.

Baru-baru ini, kes Serban di putuskan di Mahkamah Persekutuan. Kesimpulan yang aku perolehi daripada keputusan kes tersebut adalah;

1. Kebebasan mengamalkan agama itu bergantung kepada wajib/sunatnya amalan tersebut.Selagi Negara boleh menguatkuasa polisi yang tidak melanggar hukum wajib amalan tersebut, maka Negara berhak berbuat demikian.

2. Antara matlamat melarang pelajar daripada memakai serban, jubah dan purdah adalah bagi menghindari benih ekstrimisme dari subur di peringkat sekolah seterusnya menyebabkan polarisasi dan perpecahan di dalam masyarakat.

Pandangan aku begini. Wajib/sunatnya sesuatu amalan itu tidak menjadi titik noktah kepada kebebasan seseorang mengamalkan agamanya. Soalnya, bukan penentuan hukum ke atas perilaku memakai serban itu, yang harus dibedah siasat di dalam bilik mahkamah tetapi apakah semangat serta argumen asas kepada kebebasan kanak-kanak itu mempraktikkan sesuatu yang dipercayai olehnya. Benih prejudis dan ekstrimisme tidak sekadar tumbuh dari serban, purdah dan jubah. Benih-benih racun itu telah lama tumbuh dan mengakar dalam masyarakat dek kerana menebalnya dasar pecah dan perintah tajaan Negara. Bukan serban masalahnya. Parti politik berasaskan kaum dan agama yang patut di persoalkan, Dasar Ekonomi Baru, Ketuanan Melayu pemangkin oligarki Melayu serta dasar-dasar pemerintah lain yang gagal yang patut direnungi, keegoaan institusi agama untuk menilai kerelevanannya dalam mendepani isu-isu sosial dalam konteks yang progresif yang menjadi isunya. Ada 1001 perkara lain yang perlu dilunaskan sebelum kita, rakyat Malaysia memusatkan keseluruhan kemarahan dan tenaga kita kepada isu ini semata-mata.

Kalau benar mahu menghalang benih-benih prejudis dari lahir di dalam masyarakat, apakah lebih baik menyuruh kanak-kanak ini memakai songkok daripada serban? (sila rujuk keputusan mahkamah) Hirarki songkok itu lebih tinggi kah daripada serban dalam carta "pakaian yang menyemai perpaduan di Malaysia"? Semacam songkok -vs- serban ini menjadi simbol kepada pergelutan kuasa sebenar di gelanggang politik negara. Mungkin songkok itu lebih hadhari?

Aku tidak peduli tentang serban atau songkok. Aku tidak peduli tentang perlunya kanak-kanak berpakaian seragam di sekolah bagi mematuhi Pekeliling Sekolah. Aku lihat peraturan memakai pakaian seragam di sekolah ini pun sudah menjadi satu punca perniagaan/peluang tender untuk pihak tertentu. Usaha menanam displin di kalangan kanak-kanak sekolah sudah menjadi komoditi meraih keuntungan. Selain itu, disebabkan oleh baju seragamlah, ramai kanak-kanak Orang Asli tidak mahu ke sekolah atau malu lalu tercicir dari pendidikan. Pemakaian serban pula hanyalah soal kulit atau luaran. Maaf, aku tahu pemakaian serban itu satu sunnah Rasulullah tetapi Ustaz ku di universiti dulu pernah menasihatkan aku bahawa kadang-kadang, soal pemakaian jubah, serban dan purdah ini harus diteliti dan dilihat kesesuaiannya dari segi persekitaran dan keadaan komuniti terutamanya jika kita sedang membuat kerja-kerja komuniti dan perlu berdepan dengan ramai orang. Justeru, serban bukan penentu tahap keimanan, tahap kesabaran dan tahap kesediaan seseorang individu mebawa perubahan yang baik kepada semua orang dan bukan dirinya semata-mata. Apa yang aku kisah adalah kes ini sepatutnya menjadi satu peluang untuk badan kehakiman negara membincangkan soal kebebasan mengamalkan agama dengan progresif dan tidak sekadar dibayangi oleh polisi Pemerintah.

Sungguhpun skop kes adalah pemakaian serban, Mahkamah berhak mengeluarkan interpretasi yang kreatif kepada permasalahan ini serta melebar luaskan skop alasan penghakiman agar dapat menjadi salah satu sumber perbincangan dan refleksi masyarakat yang sedang hebat membincangkan kes-kes berkenaan kebebasan beragama. Acapkali, pemutusan kes di mahkamah mengenai isu-isu hak asasi terutamanya isu kebebasan beragama menjadi satu pertarungan bersifat prosedur dan teknikal (baca: bidang kuasa sivil lawan mahkamah syariah, baca juga thesis Salbiah Ahmad [Kolumnis Malaya! di Malaysiakini.com] sewaktu menjadi Fellow di Emory di sini.) tetapi intipati kesnya jarang mengajak masyarakat melihat isu ini dari perspektif yang berbeza.

Pada masa yang sama, Mahkamah tidak pula menilai apakah kepentingan terbaik bagi kanak-kanak sewaktu memutuskan kes tersebut. ini kerana Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) (baca teksnya di sini) yang diratifikasi oleh Malaysia pada 1995 meletakkan kepentingan terbaik kanak-kanak perlu berada di tangga yang teratas apabila ibu bapa, penjaga mahupun Negara memutuskan sesuatu bagi pihak kanak-kanak. Bila kanak-kanak yang terbabit, dibuang sekolah, adakah itu pendekatan terbaik yang membela kepentingan kanak-kanak? Bagaimana dengan hak pendidikannya di bawah Perkara 28 Konvensyen Hak Kanak-Kanak dan Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan? Hector, seorang peguam, menulis tentang aspek itu di sini.

Aku akan terus menunggu dan menunggu. :(

Koleksi pendapat orang ramai yang agak menarik:
1. Malaysian Today-yang biasa diperolehi/didengar.
2. Sun 2 Surf `s Article
3. Hujah Mohd Hanipa Maidin, peguam kanak-kanak tersebut di blog beliau.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home