Wednesday, August 09, 2006

INI BUKAN CERITA CROCODILE DUNDEE TAPI...

Jadi ‘Dundee” juga merupakan satu perkataan atau frasa yang wujud di dalam Bahasa Thai. Maknanya? Sila baca artikel ini.

Usaha NGO di Thailand memantau serta melindungi kebudayaan masyarakat Thai adalah satu usaha yang murni. Tetapi, berpandangan bahawa sekiranya kondom itu dikekalkan namanya sebagai "Dundee" akan menggalakkan golongan muda untuk melakukan seks pada usia yang muda bunyinya agak dangkal. Ini pandangan akulah.

Sebab-musababnya?

Pertama - Kerajaan Thai menganggarkan terdapat lebih kurang 20,000-30,000 kanak-kanak di bawah umur 18 tahun berada di dalam industri seks komersil. Kebanyakan dari kanak-kanak ini adalah mangsa eksploitasi seks dek kerana dihimpit kemiskinan tidak lupa juga permintaan yang tinggi di pasaran. Dalam sebuah negara, yang mana seks dilihat sebagai suatu komoditi yang lumayan, kemungkinan besar yang amat berminat membekalkan kondom Dundee ini adalah mereka yang mengeksploitasi kanak-kanak tersebut. Jangan salahkan padi-padi yang tidak berdosa itu, kemungkinan yang paling meyakinkan adalah sang pagar yang teruja mendengar nama “Dundee” dan beria-ria mahu menukar jenama kondom yang sering dipakai.

Kedua-Thailand adalah negara pengeksport sumber dalam kegiatan penyeludupan. Dalam kegiatan penyeludupan, negara-negara dikelaskan kepada tiga kategori negara- Negara Sumber, Negara Transit dan Negara Destinasi. Sebagai negara yang dikenalpasti sebagai antara penyeludup wanita dan kanak-kanak yang terbesar di ASEAN, persoalan makna “Dundee” tidak ada maknanya dan tidak menghalang penglibatan rakyat Thai dalam industri seks yang telah membudaya sekian lama di dalam masyarakat.

Mungkin ini strategi melobi. Mungkin ini taktik mengaitkan isu yang kelihatan remeh ini dengan isu yang lebih besar iaitu industri seks komersil di Thailand, tetapi janganlah kanak-kanak dijadikan persoalan pokok dalam isu ini. Aku tidak menafikan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) yang ditandatangani oleh Thailand memerlukan Thailand menunjukkan komitmen melindungi kanak-kanak dari eksploitasi seks namun, kanak-kanak bukanlah pihak yang patut dipersalahkan dalam hal ini. Sesebuah industri mempunyai lembaga pengarahnya, pasaran permintaannya, sistemnya yang tersendiri serta strategi pemasaran untuk meraih keuntungan. Kanak-kanak (dalam hal pasaran kondom Dundee mahupun industri seks komersil) adalah bekalannya. Modalnya. Mengapa tidak kita mula membincangkan isu nama kondom Dundee ini dengan melihat komposisi industri seks komersil, golongan dewasa serta keluarga?

0 Comments:

Post a Comment

<< Home